Pemberian Jiran

December 06, 2013


"Assalamualaikum. Mak cik, mak saya masak ayam goreng ni untuk makcik. Nanti mak cik makanlah ye. " kata Mia.
"Waalaikumussalam. Terima kasih ye. Tunggu sekejap,ye. Mak cik nak tukar bekas." balas Mak Cik Deni.
Selepas selesai tukar bekas, Mak Cik Deni memulangkan bekas ibu Mia kepada Mia.
"Terima kasih, nak. Kirim salam kat ibu kamu."  
"InsyaAllah. Saya balik dulu, ye. Assalamualaikum." kata Mia.
"Waalaikumussalam." jawab Mak Cik Deni.
Mak Cik Deni berjalan menuju ke dapur. Dia melihat ayam goreng  yang diberi oleh Puan Rozi tadi.
"Ayam dah la kecik. Mana cukup nak makan macam ni. Apalah Rozi ni. Kalau tak mampu, tak payah la bagi." membebel  Mak Cik Deni di hadapan makanan tersebut. 
"Mak, mak cakap dengan siapa ni? Wah, ayam goreng! Sedapnya! Mak goreng ke?" tegur Fizah, anak Mak Cik Deni yang baru sahaja pulang dari kerja. 
"Ni ha...  Mak Cik Rozi tu. Dia bagi kita ayam goreng ni. Tengoklah. Ayam-ayam dia semuanya kecil-kecil. Mana cukup untuk kita. Kalau dah tahu tak mampu nak bagi ayam, lain kali tak payah bagi." balas Mak Cik Deni dengan nada yang agak tinggi.
"Mak, bersyukurlah kita dapat juga makan ayam goreng walaupun ia kecil." balas Fizah.  
Fizah menyambung lagi percakapannya.
"Ibu tahu, dalam sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah r.a. ; Nabi S.A.W bersabda, "Wahai kaum muslimat! Janganlah kamu memandang rendah akan pemberian jiran kamu walaupun ia hanyalah kuku kaki kambing. " 
                                                                                          (Hadis Riwayat Bukhari, No. 46)"
"Tambahan pula, Mak Cik Rozi tu kan susah. Anak-anak dia pun ramai. Walaupun dia miskin, tetapi dia tetap bagi kat mak ayam goreng ni. Baik kan mak cik tu? Semoga rezeki dia bertambah nanti, InsyaAllah." sambung lagi Fizah. 
Mak Cik Deni berasa kesal atas segala kutukannya kepada Puan Rozi. Dia akui setiap perkataan yang diungkapkan oleh anaknya. Selama ini, dia tidak pernah memberi sedikit makanan kepada Puan Rozi walaupun terdapat banyak makanan di rumahnya. Dia berasa kesal dan insaf. Dia berazam untuk menjadi seorang yang pemurah seperti Puan Rozi. Beberapa titis air mulai membasahi pipi Mak Cik Deni yang gebu itu. Dia cepat-cepat menyekanya agar anaknya tidak tahu bahawa dia sedang menangis. Selepas itu, dia beredar ke biliknya.
"Mak, saya makan dulu,ye. " kata Fizah. 
"Makanlah." sayu jawapan Mak Cik Deni.
Keesokan harinya...

"Nak, bagi lauk ni kat Mak Cik Rozi, ye!" Mak Cik Deni memanggil anaknya, Fizah yang asyik menonton rancangan "Pencetus Ummah".
"Baiklah, mak." jawab Fizah. Dia pun memakai tudung dan bergerak menuju ke dapur.
"Banyaknya lauk!"
"Mak sedar mak bersalah. Mak menyesal atas perbuatan mak. Mak nak kamu hantar ni kat Puan Rozi, ye. Kirim salam dekat Puan Rozi sekali. Nanti ajaklah Puan Rozi dan keluarganya makan malam kat rumah kita hari Sabtu ni." ujar Mak Cik Deni.
"Baguslah begitu. Baiklah, saya pergi dulu." balas Fizah.
Mak Cik Deni berasa gembira kerana dapat menolong Puan Rozi sekeluarga. Tambahan pula, bersedekah itu amalan yang mulia dan mendapat ganjaran yang hebat daripada Allah S.W.T, Tuhan Pencipta Sekalian Alam. Dia bercita-cita ingin menjadi hamba Allah yang pemurah dan bersyukur atas segala pemberian Allah S.W.T.



        

You Might Also Like

0 Comments

Anything you would like to share or comments?