Cerpen : Warkah Dari Ibu Part I
July 24, 2015
Dingin subuh menusuk dalam liang romaku, membuatkan aku terjaga dari lamunan tidurku. Aku membaca doa bangun tidur seperti yang selalu diamalkan oleh Nabi kita yang tercinta, iaitu Nabi Muhammad S.A.W.. Aku bersyukur kerana masih dihidupkan oleh Sang Pencipta untuk terus melaksanakan tanggungjawabku sebagai hamba-Nya, iaitu beribadat kepada-Nya dan memakmurkan bumi ini. Aku melihat jam pada skrin telefon bimbitku. Azan Subuh akan berkumandang dalam satu jam setengah sahaja lagi. Aku segera menuju ke bilik air untuk membersihkan diriku dan berwuduk untuk menunaikan solat sunat taubat dan solat sunat tahajjud. Amalan yang sering dilakukan oleh Rasulullah S.A.W. dan penakluk Kota Constantinople pada 29 Mei 1453 Masihi, iaitu Sultan Muhammad Al-Fateh ini telah mendorong diriku untuk istiqamah menunaikan solat sunat tahajjud setiap hari. Selesai sembahyang, aku bergegas ke dapur untuk menyediakan sarapan pagi buat emak, abang dan adikku.
“Hari ni nak makan apa , ye? Nasi goreng ke roti? Nasi goreng ke roti?” bebelku sendirian di dapur sambil jari-jemariku bergerak ke kanan dan ke kiri.
Aku masak nasi goreng lah. Lagipun, emak, abang dan Hana suka makan nasi goreng, bisik hatiku. Itulah satu-satunya nasi “special” yang aku pandai masak. Sekiranya nasi kerabu atau nasi tomato yang sedap tu, sudah tentulah emak yang pakar memasaknya. Aku menggoreng nasi sambil menyanyi lagu kegemaranku, “Binnabil Huda” yang dinyanyikan oleh kumpulan nasyid UNIC. Tiba-tiba, aku terdengar desas menghampiriku.
“Asyiknya memasak. Sampai tak ingat dunia.” Terkejut aku mendengar suara garau awal pagi ini sehingga tanganku terkena kuali panas itu. Aku menoleh ke belakang. Rupanya abangku, Saiful yang berumur 23 tahun mengusikku.
“Abang tu. Awalnya bangun. Mimpi apalah agaknya sampai bangun terlebih awal ni. Ha.. ha.. ha…” berseloroh aku sambil menahan kesakitan akibat terkena kuali panas. Sekiranya abang tahu aku terkejut dengan suaranya tadi, pasti dia akan gelak tak habis-habis, bisik hati kecilku. Aku dan abang selalu bergurau senda sehingga emak pun kadang-kadang ketawa terkekeh-kekeh mendengar kami berdua berseloroh.
“Kalau dah terkejut tu, buatlah macam terkejut. Cover line pulak dia. Abang nak pergi mandi dulu. Sekejap lagi, abang gerakkan mak.” balas Saiful dengan segaris senyuman. Abang seorang doktor yang berwibawa, serius dan berkompetensi. Dia sentiasa mengimplementasikan tugasnya sebagai seorang pengusaha makanan yang cekap dan penuh dedikasi demi kemaslahatan penduduk kampung. Walaupun begitu, sikapnya di rumah amat berbeza dengan sikapnya yang serius di hospital. Dia selalu berseloroh dengan ahli-ahli keluarga terutamanya dengan adik kecilku, Hana yang berusia 6 tahun. Hana pula selalu mengusik aku dan abang apabila kami berdua balik ke rumah. Terserlahlah kenakalan Hana yang masih berhingus itu.
“Awalnya kamu bangun, Maizatul. Kasihan kamu. Mak yang sepatutnya menyediakan sarapan untuk anak-anak mak. Kamu pula yang membuatnya.” kesal Puan Salimah yang terbangun lewat pada pagi itu. Kemungkinan akibat badannya yang masih tidak sihat. Puan Salimah, emakku memang tidak sihat sejak dua hari yang lepas. Suhunya yang tinggi dan selesema membuatkan emak sukar untuk melakukan kerja-kerja rumah. Tambahan pula, abang menyuruh emak banyakkan berehat dan menyuruh aku mengambil alih tugas-tugas emak.
“Tak apalah, mak. Lagipun, ini pun suatu kewajipan Mai sebagai seorang anak untuk berbakti kepada ibu bapa.” ujarku dengan lembut kepada emak. Ya, kita sebagai seorang anak mestilah berbakti kepada ibu bapa walau apa-apa cara sekalipun. Merekalah yang telah menjaga kita dan membesarkan kita dengan penuh kasih sayang bagai menatang minyak yang penuh. Allah telah berfirman dalam Surah Al - Luqman, ayat yang ke-14,
“Dan kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya, ibunya telah mengandungnya dengan menanggung kelemahan demi kelemahan (dari awal mengandung hingga akhir menyusunya) dan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa dua tahun (dengan yang demikian) bersyukurlah kepada-Ku dan kepada kedua ibu bapa mu dan (ingatlah) kepada Akulah jua tempat kembali (untuk menerima balasan).” Oleh itu, memang menjadi suatu obligasi setiap anak untuk berbakti kepada ibu bapa. Menolong mereka sewaktu susah dan senang dan mendoakan mereka dalam setiap sujud kita perlulah dipraktikkan dalam kehidupan seharian serta menjaga percakapan dan perbuatan kita daripada melukakan hati ibu bapa kita. Betapa kentalnya jiwa seorang ibu mengorbankan masa, tenaga dan jiwa demi kebahagiaan anak-anak. Adakah kita sanggup melawan kedua-dua insan yang telah banyak berkorban untukmu ini?
“Saiful ingatkan tadi nak gerakkan mak. Mak bangun dulu. He..He...He…” ujar Saiful yang terkejut melihat Puan Salimah telah terduduk di kerusi menanti anak lelakinya itu selesai mandi. Emak hanya melontarkan senyuman manis kepada Saiful dan menyuruhnya menggerakkan Hana yang masih tidur di bilikku. Takut-takut, dia pula yang akan lambat ke sekolah.
“Adik, bangun. Hari ni sekolah. Sebentar lagi nak solat berjemaah dengan mak. Cepat bangun.” Abang menolak-nolak kaki kanan Hana untuk menyedarkan dia dari lamunan tidurnya. Pap! Hinggap kaki kanan Hana di muka abang yang bersih itu.
“Adik! Ada pulak dia pergi sepak muka abang dia yang handsome ni. Bangunlah! Mak dah tunggu tu.” jerkah Saiful kepada Hana kerana marah akan perbuatan adiknya itu.
“Keh..Keh..Keh.. Padan muka abang. Bye-bye!” Hana lari secepat mungkin ke bilik air apabila menyedari abangnya memarahinya.
“Kenapa tu? Awal-awal pagi dah ada marathon ni?” soal emak apabila menyedari Hana berlari-lari memasuki bilik air selepas dia selesai membersihkan diri.
“Adik tu, mak. Ada ke patut dia pergi sepak muka Saiful ni. Orang gerak dia, dia pulak sepak orang.” terang Saiful kepada Puan Salimah sambil menahan kemarahannya.
“Sudah-sudahlah tu. Adik kamu memang macam tu. Tak habis-habis usik kamu. Marilah kita bersiap-siap untuk solat berjemaah sekejap lagi.” jawab emak sambil menahan ketawanya.
Azan Subuh telah berkumandang dan anak-beranak itu menunaikan solat Subuh berjemaah yang diimamkan oleh Saiful. Selesai menunaikan solat Subuh berjemaah, mereka makan sarapan pagi bersama-sama dan bersiap untuk ke sekolah dan tempat kerja masing-masing. Aku dan abang bersalaman dengan emak sebelum keluar dari rumah kami yang berdindingkan kayu papan dan beratapkan zink. Sungguh, terdapat 1001 kenangan sama ada pahit dan manis telah bersemadi di dalam rumah ini.
Emak bekerja sebagai seorang juruwang di kedai serbaneka yang tidak jauh dari rumahnya. Setiap hari, emak akan menghantar Hana ke tadika dan terus pergi ke tempat kerjanya. Apabila tengah hari, emak akan mengambil Hana di tadikanya dan membawa Hana ke tempat kerjanya sehingga syifnya tamat pada pukul 3.00 petang. Emak tidak berani untuk membiarkan adik keseorangan di rumah. Banyak perkara buruk boleh berlaku sekiranya membiarkan anak-anak kecil bersendirian tanpa diawasi orang tua seperti yang telah berlaku sekarang ini. Anak-anak kecil sering menjadi mangsa culik atau mangsa rogol akibat ibu bapa yang membiarkan anak-anak bersendirian di dalam kereta atau di rumah. Oleh sebab itu, emak mengambil langkah berjaga-jaga dengan membawa Hana ke mana sahaja dia pergi.
Bersambung...
0 Comments
Anything you would like to share or comments?