Cerpen : Warkah Dari Ibu Part II

July 24, 2015

Aku ke Sekolah
    Aku berbasikal ke sekolah bersama-sama rakan-rakanku, Anie dan Nurin.  Langit yang bercorakkan pantulan cahaya matahari terbit membuatkan aku berasa kagum akan ciptaan Allah S.W.T. yang sangat indah ini.  Subhanallah… Udara pula begitu nyaman sekali dan kelihatan burung-burung berterbangan di ruang udara untuk mencari makanan mereka. Beginilah suasana di kampung. Udara yang bersih dan segar dapat dihirup penduduk-penduduk dan tiada pencemaran udara atau bunyi pun yang wujud di kampung. Suasana sebegini ini amat berbeza dengan suasana di bandar yang sudah dicemari oleh asap-asap kenderaan dan bunyi-bunyi hon yang membingitkan telinga pada awal pagi lagi.
Setibanya aku di sekolahku, Sekolah Menengah Kebangsaan Permai, aku, Anie dan Nurin menuntun basikal masing-masing memasuki kawasan sekolah seperti yang disuruh oleh guru disiplin, Cikgu Rahim. Pelajar yang menunggang basikal ke sekolah mestilah menuntun basikal apabila memasuki atau keluar dari kawasan sekolah. Begitu juga bagi pelajar yang menunggang motosikal ke sekolah.  Aku dapat rasakan peraturan sebegini memang patut dikuatkuasakan di setiap sekolah di negara kita ini. Hal ini kerana peraturan ini dapat mengelakkan sebarang kemalangan daripada berlaku di sekolah dan ketertiban para pelajar memasuki kawasan sekolah lebih terjamin.
Selepas perhimpunan rasmi, aku, Anie dan Nurin memasuki kelas kami iaitu kelas 5 Cemerlang, kelas yang beraliran sains tulen itu. Sesi pembelajaran dan pengajaran bermula seperti biasa.
“Anie, tolong jawab soalan ini.” perintah Cikgu Fuad setelah beliau menulis satu soalan Matematik pada papan putih. Anie seorang murid yang bijak. Sudah pasti dia boleh menjawab soalan tersebut. Anie bergerak ke hadapan dan menulis jawapan bagi soalan tersebut semampu yang boleh. Dia menoleh ke arah Cikgu Fuad yang sedang menanti jawapan daripadanya apabila selesai menjawab soalan itu.
“Wah, hebat! Pandai kamu menjawab soalan itu. Sebenarnya, itu soalan HOTS tu. Syabas!” puji Cikgu Fuad sambil mengangkat ibu jari kanannya kepada Anie. Anie tersenyum puas apabila dia berjaya menjawab soalan tersebut. Dia pun kembali ke tempat duduknya.
“Eleh, macamlah susah sangat soalan tu sampai nak kena ucap syabas kat dia.” Nana tidak puas hati dengan Anie yang bijak menyelesaikan soalan Matematik itu.
“Awak pun nak jawab soalan jugak ke? Kenapa tak beritahu awal-awal? Saya suka orang yang bersemangat nak jawab soalan saya ni. Baiklah. Tolong selesaikan soalan ini, Nana.” ujar Cikgu Fuad lalu memberikan whiteboard marker kepada Nana setelah menulis soalan yang berunsurkan Higher Order Thinking Skill pada papan putih itu. Nana dengan bangganya bangun dari kerusinya dan menuju ke hadapan untuk menjawab soalan tersebut. Dia menjawab soalan itu dengan penuh yakinnya. Ada pelajar-pelajar yang sabar menunggu Nana menjawab soalan. Ada juga yang cuba menjawab soalan itu di atas kertas kosong termasuklah aku, Nurin dan Anie.  Seusai menjawab, dia kembali ke tempat duduknya. Cikgu Fuad meneliti jalan kira yang diberi oleh Nana.
“Bagus cara awak menjawab soalan ini. Jalan kiranya teratur , tulisannya pun kemas.” puji Cikgu Fuad dengan lembut. Perasaan bangga dalam diri Nana semakin membuak-buak apabila dipuji sedemikian.
“Tetapi…” Satu perkataan itu telah membuatkan satu kelas memandang Cikgu Fuad dengan muka yang serius. Menanti kata-kata yang akan dituturkan oleh cikgu yang masih single tu.
“Jawapan awak ni salah. Awak ada buat kesilapan dekat sini. Tak mengapa. Bagus awak mencuba. Orang lain pun tak seberani awak.” Cikgu Fuad meneruskan kata-katanya dengan lembut agar tidak menyakitkan hati Nana. Satu kelas ketawa terbahak-bahak mendengar kata-kata cikgu itu kecuali aku. Barangkali, mereka sudah tidak tahan dengan sikap Nana yang angkuh dan berlagak itu. Aku akui Sharifah Hanana atau lebih dikenali sebagai Nana merupakan gadis  yang berlagak dan sombong. Akan tetapi, aku tidak mahu mentertawakannya. Bayangkan sekiranya aku yang menghadapi situasi yang sama dengan Nana, tentu aku juga berasa malu. Sebaik-baiknya, aku hanya mendiamkan diri. Wajah Nana merona merah akibat ditertawakan oleh kawan-kawan sekelasnya. Dia pun terus bergegas keluar dari kelas sambil menutup mukanya dengan kedua-dua telapak tangan. Jelas kelihatan dia sedang menangis. Cikgu Fuad pula terkejut apabila melihat Nana berlari keluar dari kelasnya. Dia berharap Nana tidak tersinggung dengan tegurannya sebentar tadi.
Kring! Kring! Loceng berbunyi menandakan waktu rehat bagi pelajar tingkatan 4 dan 5.
Murid-murid kelas 5 Cemerlang bangun dan mengucapkan terima kasih kepada Cikgu Fuad. Pelajar-pelajar lelaki bersalaman dengan Cikgu Fuad sebelum keluar dari kelas.
   "Izat, kau nak pergi beli apa-apa tak?" tanya Anie yang ingin pergi ke koperasi bersama Nurin untuk membeli makanan.
"Tak mengapalah. Kau orang pergilah dulu. Aku menyusul kemudian."  balasku sambil memasukkan buku-buku yang berselerak di atas meja ke dalam beg semula. Pang! Bunyi itu mengejutkan aku. Aku terus menoleh ke arah bunyi tersebut. Nana berdiri di muka pintu dengan kedua-dua tangannya digenggam kejap ke bawah. Nana merenung tajam mukaku. Dia mengambil beg Anie yang berada di sebelah kananku lalu dicampakkannya ke luar kelas.
“Woi! Kau ni kenapa nak baling beg orang sesuka hati! Kalau kau nak belasah Anie, belasah aku dulu!” jeritku mempertahankan Anie. Nana menghampiriku lalu menolak meja Anie ke tepi supaya dia boleh menghampiriku dengan lebih dekat. Nana menampar pipiku dengan kuat.
“Kau ni dari kecik sampai ke besar sama je. Suka menyibuk kalau aku mad to someone.” ujar Nana dengan nada yang tinggi.  Aku memujuk hatiku supaya bersabar menghadapi Nana ini. Ya Allah, berilah aku kesabaran dalam menasihati kawanku ini. Aku berdoa dalam hati sebelum meneruskan kata-kataku kepada Nana.
“Dah kau kawan aku. Aku tak nak kau terlibat dalam pergaduhan. Kasihanilah mak ayah kau. Jangan biar mereka menanggung malu atas perbuatan kau ni. Sudahlah tu , Nana. Jangan marah lagi. Tak apa kalau jawapan tu salah. Nanti kita boleh practice buat soalan tu lagi sama-sama. Kalau kau tak tahu, kau boleh tanya aku. Okay, Nana? Sudahlah. Jangan buat macam ni lagi.” pujukku sambil mengusap-usap bahu kiri Nana.  Aku harap dengan pujukanku ini, terpadam sedikit api kemarahan dalam hatinya yang sedang membara. Marah kerana rakan-rakan sekelas mentertawakannya dan dengki dengan Anie yang pandai itu. Nana merenung tajam mukaku lalu dia keluar dari kelas. Alhamdulillah. Nasib baik aku tak kena belasah betul-betul dengan dia tadi, bisik hati kecilku.
Aku pergi ke luar kelas mengambil semula beg Anie dan menyusun semula meja yang telah diselerakkan oleh Nana. Anie dan Nurin pun masuk ke kelas semula.
“Izat, kami tunggu kau lama dekat koperasi. Tak nampak pulak batang hidung kau  yang ala-ala orang putih tu muncul di koperasi. Rupa-rupanya kau ada kat sini.” terang Nurin kepadaku. Aku tergelak kecil mendengar keterangan Nurin mengenai hidungku. Agaknya, mereka memang sudah lama menunggu aku di sana.
“Kau buat apa sampai meja pun nak susun segala. Ada apa-apa berlaku ke?” tanya Nurin yang merasakan ada sesuatu yang cuba disembunyikan oleh Maizatul.
“Ye la. Aku hairan. Hari ni bukan tugas kau pun.” Persoalan demi persoalan dilontarkan oleh kawan-kawan baikku itu.
“Tak apa. Sekali sekala. Bukan selalu.” Aku cuba menyembunyikan kebenaran mengenai Nana yang menolak meja Anie sebentar tadi. Aku juga sempat membersihkan beg Anie itu sebersih-bersihnya agar tiada persengketaan yang akan berlaku antara Anie dan Nana.

Terlintas di fikiranku
    Aku gemar membaca surat khabar di taman permainan berdekatan dengan rumahku pada waktu petang.  Duduk berehat di taman permainan memang menyeronokkan. Dapat melihat kanak-kanak yang masih suci hatinya bermain-main di taman permainan dan dapat menikmati angin yang bertiup sepoi-sepoi bahasa pada waktu petang. Aku terbaca sebuah artikel yang menceritakan tentang coklat Cadbury yang dikatakan haram dimakan kerana mengandungi DNA babi di dalamnya. Selepas itu, ada dua sampel coklat Cadbury yang diambil dari kilang disahkan tiada DNA babi. Masyarakat pula keliru sama ada coklat Cadbury ini boleh dimakan atau tidak. Pada perspektifku, langkah yang terbaik untuk makanan syubhah iaitu makanan yang diragui status sama ada halal atau haram adalah dengan meninggalkannya.  Memakan makanan syubhah boleh menjejaskan pembentukan insan kerana amal ibadat dan doa seseorang itu mungkin tidak akan diterima Allah. Dalam satu hadis daripada Abu Abdullah al-Nu'man ibn Basyer r.a. رضي الله عنهما beliau berkata: Aku telah mendengar Rasulullah SAW bersabda:
“Sesungguhnya perkara yang halal itu terang jelas, dan sesungguhnya perkara yang haram itu terang jelas, dan di antara kedua perkara tersebut ada perkara-perkara syubhat yang kesamaran yang kebanyakan orang tidak mengetahuinya. Barangsiapa yang menjaga perkara syubhat maka sesungguhnya dia telah membersihkan agamanya dan maruah dirinya. Dan barangsiapa yang terjatuh dalam perkara syubhat, maka dia telah jatuh dalam perkara haram, umpama seorang pengembala yang mengembala di sekeliling kawasan larangan, dibimbangi dia akan menceroboh masuk ke dalamnya. Ketahuilah bahawa setiap raja ada sempadan dan sesungguhnya sempadan Allah itu ialah perkara-perkara yang diharamkanNya. Ketahuilah bahawa dalam setiap jasad itu ada seketul daging yang apabila ia baik maka baiklah seluruh jasad dan apabila ia rosak, maka rosaklah seluruh jasad. Ketahuilah ia adalah hati. (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim). Justeru, langkah yang terbaiknya adalah dengan meninggalkan makanan tersebut. Tiba-tiba, terlintas di fikiranku mengenai beberapa perkara. Soal ‘couple’ yang semakin hots dalam kalangan remaja sekarang ini dan juga alat yang berjaya merosakkan kehidupan seseorang, iaitu rokok. Soal makanan yang ada DNA babi dipandang serius oleh masyarakat. Soal ‘couple’ dan rokok yang haram itu pula diendahkan masyarakat.
Aku melihat pemandangan di sekelilingku. Ada sepasang ‘couple’ sedang berdua-duaan di bangku hujung sebelah kiriku. Aku memerhati wajah pasangan ‘couple’ itu dari jauh. Astaghfirullahal a’zim. Istighfarku dalam hati. Tersentak aku apabila memerhati pasangan itu dengan lebih tajam.
“Macam kenal je perempuan tu. Siapa ya?” Otakku ligat berfikir mencari jawapan untuk  persoalanku tadi.

“Itu Kamariah!”

Bersambung...

You Might Also Like

0 Comments

Anything you would like to share or comments?